TEKNOLOGIKATEGORI TEKNOLOGI DALAM KEHIDUPAN DI DESA Teknologi Pertanian Teknologi Perikanan Teknologi Ternakan Teknologi Pemprosesan Makanan Teknologi Maklumat & Komunikasi Teknologi Pendidikan |
||
TEKNOLOGI … APAKAH YANG KITA KETAHUI MENGENAINYA Kalau saya ditanya apakah itu ’teknologi’, jawapan saya akan berasaskan kepada maknanya mengikut yang terdapat di dalam kamus iaitu ‘penggunaan pengetahuan sains untuk mempertingkatkan atau memajukan cara hidup manusia, atau kaedah saintifik yang digunakan dalam sesuatu bidang yang tertentu.’ Dan kalau saya rujuk kepada Wikipedia iaitu ensiklopedia bebas pula penjelasan yang saya dapati ialah “pembangunan dan penggunaan alatan, mesin, bahan dan proses untuk membantu penyelesaian masalah-masalah manusia”. Sebagai kegiatan manusia, teknologi wujud sebelum sains dan kejuruteraan. Ia merangkumi pengetahuan manusia mengenai masalah-masalah sebenar dalam reka bentuk alatan, mesin ataupun proses.’ Kemudian kalau saya buat carian lagi di ensiklopedia yang sama, saya akan mendapat satu penjelasan yang lebih lanjut iaitu seperti berikut: ‘Teknologi merupakan satu konsep yang luas dan mempunyai lebih daripada satu takrifan. Takrifan yang pertama ialah pembangunan dan penggunaan alatan, mesin, bahan dan proses untuk menyelesaikan masalah manusia. Istilah teknologi selalunya berkait rapat dengan rekaan dan gadget menggunakan prinsip sains dan proses terkini. Namun, rekaan lama seperti tayar masih menunjukkan teknologi. Maksud yang kedua digunakan dalam bidang ekonomi, yang mana teknologi dilihat sebagai tahap pengetahuan semasa dalam menggabungkan sumber bagi menghasilkan produk yang dikehendaki. Oleh itu, teknologi akan berubah apabila pengetahuan teknikal kita berubah. Takrifan teknologi yang diguna pakai di sekolah-sekolah dan institusi-insitusi pengajian tinggi di Malaysia ialah aplikasi pengetahuan sains yang boleh memanfaatkan serta menyelesaikan masalah manusia yang dihadapi dalam kehidupan seharian.’ Itulah ‘teknologi’. Dan makna serta tafsirannya, akan berubah berpandukan kepada perubahan pengetahuan kita. Hari ini perkataan teknologi selalu disebut-sebut. Tapi malangnya, sedikit benar antara kita yang betul-betul memahami apa yang dimaksudkan. Bukan itu sahaja bahkan ada juga di antara kita yang tidak begitu arif akan faedah dan manfaatnya. Jadi apa yang sebenarnya kita hadapi ialah keadaan yang diwujudkan oleh masyarakat sendiri, iaitu pada fahaman kita mungkin dengan menggunakan perkataan ini iaitu ‘teknologi’ kita akan dianggap sebagai antara yang tergolong dalam kumpulan insan yang berilmu pengetahuan yang luas, sedangkan sebenarnya ‘teknologi’ itu adalah hanya satu perkataan yang telah kita perolehi dalam kita berinteraksi dengan yang arif mengenainya. Dan kita pun berasa bangga. |
Sedangkan kita sebenarnya tidak faham, dan lebih jauh kita tidak mengetahui apakah yang dianggap sebagai ‘teknologi’ … jenis atau kategorinya … dan apakah gunanya atau bagaimanakah hendak kita gunakan dalam kehidupan kita. Ini membawa saya kepada pendapat para ilmuan iaitu pengetahuan atau fahaman yang cetek mengenai satu-satu perkara itu, adalah membahayakan dan kadang kala akan menyusahkan kita pula. Jadi yang perlu kita lakukan ialah mengetahui sedalam-dalamnya ehwal teknologi … apakah dianya, jenis-jenisnya, faedah atau manfaat darinya, dan bagaimana hendak kita gunakannya. Kita ambil satu contoh … teknologi maklumat dan komunikasi atau ringkasnya ICT (Information and Communications Technology). Jika kita teliti maksudnya akan disedari bahawa ICT adalah satu kaedah untuk mendapatkan maklumat, bertukar maklumat, menyediakan maklumat, berkongsi maklumat, dan komunikasi pula membawa makna cara dan kaedah kita berhubung antara satu sama lain iaitu untuk tujuan melibatkan diri dalam perkara maklumat tadi. Dalam hal ini juga, teknologi ini perlu kita fahami secukupnya, iaitu sebelum kita cuba menceburkan diri di dalamnya. Kalau tidak kita akan merugikan masa dan tenaga sahaja. Mungkin kita berasa bangga, terutama dalam scenario desa, bahawa kita menceburkan diri dalam teknologi ini. Mungkin kira berasa megah kerana kita telah boleh melayari lamanweb-lamanweb dari seluruh dunia. Akan tetapi bolehkah cuma melayari lamanweb sahaja kita akan mendapat ilmu pengetahuan yang kita cari. Utamanya, fahamkah kita apa yang terkandung di dalam lamanweb itu? Fahamkah kita bahasa yang digunakan? Dan banyak lagi. Yang pentingnya sekarang ialah bahawa teknologi ini, kita sedari atau tidak, ialah satu konsep sains … sains untuk mencari, mencapai dan mendapatkan maklumat demi melengkapkan diri kita dengan ilmu pengetahuan yang boleh membawa kita ke satu penghidupan yang lebih baik di masa hadapan. Pernah disebut-sebut bahawa zaman kini ialah zaman maklumat. Segala-galanya dalam kehidupan kita hari ini adalah bersandarkan kepada maklumat atau ilmu pengetahuan. Tanpa pengetahuan, atau kurang pengetahuan kita akan ketinggalan. Pandangan saya ini, adalah satu pandangan yang praktikal. Kepada saya, teknologi ini iaitu teknologi maklumat adalah satu-satunya kemudahan atau kaedah yang membolehkan kita mendapatkan maklumat, memperkayakan diri kita dengan pengetahuan. Yang perlu kita lakukan sekarang, ialah fahamilah sedalam-dalamnya maksud dan tujuan teknologi yang sedang kita hadapi atau yang sedang dibawa kepada kehidupan kita. Gunakan teknologi ini secara maksima. Dan faedahnya akan kita nikmati kelak. |
|