Teknologi Pertanian

TANAMAN PEGAGA


Pegaga telah lama digunakan sejak kurun ke-17 sebagai herba untuk merawat pelbagai penyakit.  Melalui penemuan sains moden, pegaga terbukti sebagai salah satu tumbuhan herba yang berkhasiat dan amat baik digunakan seperti yang diamalkan oleh orang-orang dahulu, sesuai dengan zaman teknologi yang serba canggih ini.

Pegaga boleh dimakan oleh semua peringkat umur termasuk kanak-kanak sama ada sebagai ulam, dimasak atau dibuat jus.  Mengikut ceritanya masyarakat India purba makan dua helai daun pegaga sehari untuk awet muda dan kulit yang sihat.  Ketika itu mereka juga menggunakan pegaga atau Centella asiatica untuk merawat penyakit kusta, ulser, luka-luka dan batuk kering.  Dalam perubahan moden, sejenis sebatian yang dikenali sebagai asiatikosida, diekstrak daripada daun pegaga dan digunakan untuk mengubati penyakit kusta.  Pegaga juga dikatakan mujarab mengubati ulser, kerana ciri-ciri antibakteria yang ada padanya.  Manakala air pegaga pula dijadikan sebagai minuman 'penyejuk' badan bagi masyarakat Cina.  Mereka juga percaya pegaga adalah herba serbaguna yang dapat mengubati sistem saraf dan meredakan tekanan perasaan.  Ahli perubatan Cina dahulu kala menggunakan pegaga untuk mengubati demam dan selsema.

Dalam masyarakat Melayu pula, pegaga telah lama digunakan di kampung-kampung sebagai ulam atau dibuat kerabu.  Mengikut kepercayaan orang Melayu juga, pegaga sangat baik untuk wanita lepas bersalin kerana dikatakan mempunyai khasiat untuk menguncupkan rahim.   Keseluruhan pokok pegaga termasuk akar dibersihkan, lalu dikisar dengan sedikit ibu garam untuk menjadikan air atau jus pegaga.  Amalan ini amat baik diteruskan walaupun selepas pantang, kerana pegaga dapat membersihkan darah, membaiki peredaran darah dan mempunyai kandungan mineral yang tinggi terutama kalsium dan zat besi.  Air atau jus pegaga boleh diadun bersama gula merah atau madu untuk memperoleh rasa yang lebih enak.

Dalam perubatan tradisional, amalan makan pegaga atau minum jus pegaga dikatakan mujarab untuk membantu masalah insomnia, darah tinggi, lelah (asthma) dan tiada nafsu makan.  Selain itu, daun pegaga yang dilumat dapat menghentikan pendarahan pada luka kecil dan mengelakkan jangkitan kuman.  Cara ini juga digunakan untuk mengubati kudis dan menghilangkan gatal-gatal kulit.  Pegaga juga dikatakan memberi kesan pada beberapa peringkat pembetukan tisu seperti menghilangkan parut, membina kolagen, merangsang pertumbuhan rambut dan kuku serta memperkuat gigi.

Pegaga bukan sahaja popular di Asia, tetapi juga diiktiraf oleh masyarakat barat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).  Mereka makan pegaga sebagai herba untuk kecergasan minda seperti meningkatkan daya ingatan dan penumpuan fikiran terutama untuk kanak-kanak.  Mereka juga menggelar pegaga sebagai 'herba ajaib' kerana dapat membantu peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit.

Di samping mengembalikan kecergasan badan, pegaga juga dikatakan dapat mengubati beberapa penyakit lain seperti rheumatism, sakit tekak, tonsilitis, hepatitis dan juga digelar sebagai "arthritis herbs", iaitu herba yang mujarab untuk mengubati penyakit arthritis.  Pada masa ini pelbagai produk daripada pegaga mudah didapati di pasaran seperti teh herba, kordial dan sebagai campuran kepada herba-herba lain.  Salah sebuah syarikat kosmetik terbesar di dunia juga menggunakan ekstrak pegaga dalam pengeluaran alat solek mereka.

Pokok pegaga amat mudah ditanam.  Biasanya pegaga yang dijual di pasar, dikutip bersama akarnya sekali.  Akar-akar pegaga lebihan makan boleh dicucukkan sahaja di dalam pasu atau di mana sahaja pada tempat yang ada sedikit teduhan.  Ia akan tumbuh subur serta mudah merebak.  Jadikanlah pegaga sebagai salah satu koleksi tanaman ulaman tradisional anda. -   Dipetik dari majalah Agromedia Bil. 7/1999.

Menurut kajian yang dibuat oleh Natural Product Discovery (NPD), usahasama antara Malaysia dan Massachusette Institute  of Technology (MIT USA) telah menjumpai bahawa kandungan yang terdapat dalam pegaga boleh bertindak sebagai agen anti-kanser.  Kini pegaga menduduki satu daripada tangga 10 teratas dalam senarai jenis herba yang terlaris di Amerika Syarikat dan Eropah.  Pegaga merupakan salah satu herba yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai salah satu daripada spesis tumbuhan ubat yang paling penting perlu diperlihara dan dibiakkan.  Menurut kajian yang dijalankan di luar dan dalam negara, pegaga dapat memberi kesan positif terhadap penyakit-penyakit berikut:-

  • Sistem Pernafasan

  • Sistem Penghadaman

  • Sistem Imun Badan

  • Sistem Kardiovaskular

  • Demam

  • Gangguan Dalam Tubuh

  • Penyakit Kulit

  • Sakit Tulang dan Sakit Sendi

  • Sakit Puan

  • Akal Fikiran

  • Insomnia

Berita gembira bagi yang lemah tenaga batin,  dengan mengamalkan pegaga air atau nama saintifiknya Hydrocotyle Asiatica setiap hari, seseorang itu dapat menguatkan kembali tenaga batinnya. 

Petua:

7 helai daun pegaga air dikisar bersama dengan 200 ml air. Kemudian, 1 sudu madu lebah asli dimasukkan ke dalam ramuan tadi.  Perahkan juga sedikit limau nipis.  Amalkan petua ini setiap hari dan rasai keberkesannya.  Sumber:  Wawasan Pertanian Bilangan 16/2002

Make a Free Website with Yola.