KUNYIT
Selain memberi warna kuning yang menarik, kunyit juga menyedapkan rasa makanan dan mempunyai khasiatnya yang tertentu. Serbuk kunyit juga salah satu bahan serbuk kari. Ia memberi warna dan bau harum disamping pelbagai perisa dan bahan rempah yang lain seperti jintan putih, buah pala, kulit kayu manis, ketumbar dan cili.
Dalam perubatan tradisional, kunyit banyak digunakan dalam campuran rempah ratus dan jamu. Mengikut kepercayaan orang Melayu, ibu kunyit boleh membersihkan rahim dan mengecutkannya bagi wanita selepas bersalin. Walau bagaimanapun, biasanya kunyit tidak digunakan bersendirian tetapi dicampurkan dengan lada hitam atau lempoyang. Kunyit juga dikatakan boleh mengubati sakit perut, reumatisme, demam, batuk, penyakit lelah dan cirit-birit. Bagi mengurangkan rasa gatal sakit mata, tititskan air rebusan kunyit ke dalam mata. Manakala kunyit yang dicampur dengan kapur dipercayai dapat menghilangkan kurap susu yang biasa dialami oleh bayi yang baru lahir. Dalam masyarakat Melayu Sarawak, bunga kunyit digunakan oleh wanita selepas bersalin sebagai ulam. Ia dikatakan sama khasiatnya dengan ibu kunyit iaitu menyembuhkan luka bersalin, memulihkan rahim dan awet muda. Tetapi dinasihatkan jangan makan terlalu banyak. Bagi masyarakat Melayu di Pantai Timur Semenanjung pula, tidak terhadap kepada wanita bersalin sahaja, amalan makan bunga kunyit sebagai ulam dipercayai dalam menambah seri muka. Daun kunyit pula digunakan dalam berbagai-bagai jenis lauk seperti rendang, masak lemak dan masakan secara rebus, untuk mendapatkan aromanya serta membangkitkan selera.
Dalam perubatan tradisional India, kunyit digunakan sebagai herba pencuci. Sesetengah masyarakatnya menggunakan kunyit sebagai sapuan (pes) pada bahagian badan untuk mengubati penyakit kulit dan gatal-gatal. Ahli perubatan Cina percaya kunyit boleh melancarkan perjalanan darah, melegakan sakit, menghilangkan kesan lebam dan darah beku serta bagus untuk mengubati sakit perut dan bahagian tangan. Dalam perubatan Thai pula, kunyit digunakan untuk merawat bisa patukan ular tedung. Ada penyelidikan yang membuktikan kunyit menguatkan pundi hempedu, menyekat pembekuan darah yang bahaya, mengurangkan toksin hati, membantu proses ungkaibina lemak, mempunyai kesan antimerangsang tindakan dan non-steroidal.
Salah satu ciri yang menentukan mutu kunyit ialah kandungan curcumin dan minyak patinya. Curcumin ialah salah satu pigmen kunyit yang mengandungi ciri perubatan. Minyak pati kunyit didapati boleh menyembuhkan bengkak dan sakit artritis serta boleh menentang kuman. Kunyit juga banyak digunakan sebagai bahan solekan tradisional seperti krim muka dan bahan lulur untuk melembutkan dan membersihkan kulit. Dipetik dari majalah Agromedia Bil. 7/1999.