Teknologi Pertanian

 TAMAN KEKAL PENGELUARAN MAKANAN (TKPM)

Selaras dengan hasrat Menteri Pertanian yang ingin menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama pertanian makanan di rantau ini, sayur-sayuran dan buah-buahan adalah antara komoditi yang bakal dipertingkatkan pengeluarannya untuk memenuhi permintaan tempatan yang meningkat, penggantian import dan merebut peluang pasaran eksport yang semakin berkembang.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan telah memperkenalkan pendekatan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), iaitu sebuah kawasan yang dimaju dan digazetkan sebagai kawasan pengeluaran sayur-sayuran, tanaman ladang (singkat masa) dan buah-buahan.  Pengwujudan TKPM secara langsung menyelesaikan rungutan para pelabur mengenai ketiadaan tanah untuk kegiatan pengeluaran pertanian secara komersial dan moden.

Konsep TKPM

Secara umumnya, pembangunan TKPM dilaksanakan ala pembangunan Taman Perindustrian di mana kerajaan akan mengazet dan memajukan sesuatu kawasan yang telah dikenalpasti sebelum dijual atau disewa kepada pihak pengusaha untuk aktiviti perindustrian.  Bezanya, TKPM hanya untuk disewakan kepada  pengusaha khusus untuk aktiviti pengeluaran pertanian makanan seperti sayur-sayuran, tanaman jangka pendek yang lain dan buah-buahan tidak bermusim yang mempunyai 'gestation period' yang pendek seperti nanas, tembikai dan melon.

Bagi menarik penglibatan pihak swasta, tapak-tapak tanah yang strategik dan berpotensi yang berhampiran dengan pusat pertumbuhan penduduk, industri dan akses kepada sistem pengangkutan utama akan dipilih untuk dimajukan sebagai TKPM.

Pelaksanaan Projek

Pembangunan TKPM melibatkan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak swasta.  Kerajaan Negeri berperanan mengenalpasti tanah untuk pembangunan TKPM, menyediakan khidmat sokongan teknikal kepada pengusaha, manakala Kerajaan Persekutuan akan membantu dalam aktiviti pembersihan kawasan, penyediaan kemudahan infrastruktur asas seperti jalan masuk, sistem saliran utama dan kemudahan pengairan utama, penyediaan khidmat sokongan teknikal kepada pengusaha dan agen pengembangan.  Pihak swasta pula akan menyediakan infrastruktur dalam ladang seperti jalan ladang, sistem pengairan dan saliran di ladang serta mengusahakan tanaman.

MoU

Bagi memudahkan pelaksanaan program di atas, pengagihan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri, MoU telah/ akan ditandatangani oleh Menteri Pertanian dengan Menteri-menteri Besar.  Dalam MoU tersebut kerajaan Negeri diminta agar tidak menukar tanah selain dari kegunaan untuk TKPM.

Pemilihan peserta dibuat dari kalangan usahawan tani sedia ada di persekitaran kawasan projek, usahawan atau pihak swasta yang berminat dan mempunyai modal.  Untuk memastikan projek berjaya, peserta akan diberi pendedahan yang mencukupi mengenai teknologi penanaman dan pengurusan ladang.

Faedah TKPM

Menerusi projek ini, pengeluaran makanan sayuran yang terancang, cukup dan berterusan dapat dibekalkan untuk menampung keperluan penduduk yang bertambah.  Pengamalan teknologi yang sesuai dan terkini dapat disebarkan dengan cepat bagi menghasilkan sayuran berkualiti dan selamat disamping peserta projek boleh mendapat pendapatan lumayan dari hasil keluaran mereka oleh kerana kos infrastruktur, bahan imput dan kos pemasaran dapat dikurangkan melalui operasi secara pukal dan berkumpulan.

TKPM perlu bukan saja untuk menjamin pengeluaran bahan makanan yang berterusan tetapi juga bagi meningkatkan pengeluaran sayuran yang berkualiti serta memberi peluang kepada penduduk tempatan dan usahawan menceburi dalam bidang penanaman sayuran dan bahan makanan bagi meningkatkan pendapatan mereka.  Disamping itu, ia dapat mengurangkan pengimportan bahan makanan.

Dengan andaian satu hektar dapat mengeluarkan 12 tan sayuran bernilai RM1.00/kg. dan 3 kali pengeluaran hasil setahun, adalah dijangka sebanyak 21,000 tan sayuran dan bahan makanan bernilai RM12 juta akan dapat dikeluarkan secara terancang dari TKPM ini dalam tahun pertama dan meningkat sehingga 106,740 tan bernilai RM106.7 juga di akhir tahun kelima Rancangan Malaysia ke Lapan.

Kemudahan infrastruktur asas akan disediakan oleh Jabatan dan usahawan-usahawan dengan pihak swasta dipelawa untuk melabur dan berusaha aktif dalam pengeluaran sayuran dan tanaman ladang secara komersil menggunakan teknologi yang sesuai.

Make a Free Website with Yola.