Teknologi Pertanian

KEAJAIBAN HERBA

Herba ialah tumbuhan yang ditanam dan diproses untuk dimanfaatkan dalam berbagai-bagai kegunaan.  Ia sering digunakan sebagai bahan dalam masakan, barang kosmetik, haruman, perisa dan penjagaan kesihatan.  Namun, kegunaannya yang biasa dan paling popular masih terletak pada ciri-ciri penyembuhannya.  Ia digunakan sama ada sebagai ubat herba, salap, ubat-ubat berasaskan herba atau dalam makanan kesihatan.

Dari segi perubatan pencegahan dan rawatan penyakit, memang sudah berzaman herba digunakan.  Kegunaannya dalam penjagaan kesihatan telah dicatatkan dalam pengubatan Ayurveda (sistem pengubatan tradisi India) dan farmakopeia Cina hampir 5,000 tahun yang lalu.  Di Mesir, herba ditanam dalam taman-taman yang ada kaitan rapat dengan rumah ibadah 4,000 tahun yang lalu.  Mandian herba dan wangi-wangian daripada kemenyan/setanggi amat popular di awal tamadun orang-orang Mesir, Rom dan Grik.

Dari segi sejarah dan kebudayaan Melayu pula, herba bukan sahaja digunakan dalam pengubatan, tetapi ia juga dimakan sebagai ulam.  Ulam dianggap sayuran tradisi yang penting dalam diet harian.  Ia dimakan segar, dicecah dengan sambal belacan/sos lain atau dicelur.  Dipercayai, ulam dapat menguatkan tubuh dengan meningkatkan sistem imun dan pencernaan.  Dalam keadaan ini, ulam dimakan sebagai ubat pencegahan.  Lazimnya, segala jenis ulaman dipercayai dapat menyegar dan mempermuda kulit.  Ia popular di kalangan wanita sebagai bahan awet muda.

Seiring dengan perkembangan ubat-ubatan moden, tiruan dan antibiotik pada awal abad ke-19, herba kekal dengan peranannya yang penting dalam penjagaan kesihatan.  Di negara yang ramai penduduknya seperti India dan China, iaitu mencecah angka 1 bilion, jenis terapi yang utama masih lagi dalam bentuk tumbuh-tumbuhan atau ekstraknya.  Sistem pengubatan Cina menggunakan lebih 80% bahan tumbuh-tumbuhan dalam ubat-ubatannya.  Di Amerika Syarikat juga, produk tumbuh-tumbuhan masih merupakan sumber penting dalam pengskripsian ubat-ubatan walaupun bahan sintetik menguasai pasaran.  Lebih kurang 25% preskripsi yang dikeluarkan oleh farmasi di negara itu dari 1959-1980 mengandungi ekstrak tumbuh-tumbuhan.

Mengikut anggaran WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), hampir 80% penduduk dunia bergantung pada rawatan secara tradisi.  Bilangannya semakin bertambah termasuklah daripada golongan yang muda.  Dalam tempoh 15 tahun yang lalu, seluruh dunia terutamanya negara maju dilanda gelombang berbalik ke bahan semula jadi.  Bahaya dan keracunan yang berkaitan dengan penggunaan ubat dan antibiotik sintetik secara sembarangan, telah menyedarkan Barat dan Timur hakikat penggunaan ubat-ubatan ke arah kehidupan semula jadi yang lebih sihat dan selamat.  Di negara barat kecenderungan ke arah kehidupan yang lebih alamiah dan menyeluruh telah mencetuskan kewujudan kedai makanan kesihatan yang menjual pelbagai ekstrak dan teh asli dengan banyaknya.  Di timur Eropah, perubatan tradisional telah digabungkan dengan perubatan moden yang mengandungi 60% tumbuh-tumbuhan yang digunakan dalam preskripsi.

Prospek herba

Herba digunakan dengan meluas dalam pelbagai jenis produk.  Daripada pengubatan tradisional hingga ke ekstrak yang mengandungi bahan aktif yang standard, hinggalah produk kimia yang tulen digunakan dalam ubat-ubatan.  Herba juga digunakan dalam industri makanan, minuman, perisa dan wangi-wangian, minuman, perisa dan wangi-wangian.  Yang paling banyak mengaut keuntungan ialah industri farmasi dan makanan kesihatan.

Dari awal abad ke 19, tanaman herba telah merevolusikan dunia pengubatan.  Selain mempunyai nilai ringgit, nilai sebenar herba terletak pada ciri-cirinya yang dapat melegakan kesengsaraan manusia dan bilangan manusia yang dapat diselamatkan oleh tumbuh-tumbuhan ubatan sepanjang zaman.

Di Malaysia, kekayaan kita sebenarnya terletak pada kepelbagaian biologi flora dan faunanya.  Sebagai sebahagian daripada hutan hujan tropika, kawasan ini dianggap sebagai yang paling berevolusi dan kaya dengan 20,000 spesies tumbuhan.  Dipercayai ia belum tersentuh sejak zaman air batu dan memenuhi kawasan seluas 19.12 juta ha.  Kini terdapat sebanyak 2,000 spesies tumbuh-tumbuhan yang dilaporkan mempunyai nilai perubatan dan jumlah ini merupakan khazanah kimia yang sangat berharga yang boleh dimanfaatkan untuk penjagaan kesihatan.  Industri Malaysia masih diperingkat awal.  Kebanyakan herba yang digunakan dimport dan China, Indonesia dan India.  Melalui tinjauan etnobotanikal dan hasil kajian daripada farmakologi dan ujian klinikal, beberapa jenis herba yang dianggap berpotensi untuk dikomersialkan telah dikenalpasti seperti pegaga (cantella asiatica), hempedu bumi (andrographis paniculata), kemangi (ocimum sanctum), dukung anak (phyilanthus niruri) dan banyak lagi.  (Dipetik dari majalah Agromedia Bil. 7/1999).

Senarai Herba yang Berpotensi di Malaysia

  1. Lidah Buaya 
    Aloe Vera (L) Burm.f. - Famili: Liliaceae
    - produk penjagaan kulit / krim muka
    - minuman dan makanan kesihatan
    - syampu
    - krim antiseptik 

  2. Hempedu Bumi/Akar 
    Andrographis paniculata (Burm.f) wall.ex.Ness - Famili: Acanthaceae
    - ekstrak herba untuk peningkatan kesihatan dan sistem ketahanan badan
    - dadah
    - kapsul dan pil kesihatan

  3. Pegaga
    Cantella asiatica (l.) Urban - Famili: Umbeliferae / Apiaceae
    - produk penjagaan kulit
    - ramuan-ramuan herba berbentuk kapsul
    - makanan kesihatan
    - minuman herba
    - dadah

  4. Kunyit
    Curcuma demestica Loir - Famili: Zingiberaceae
    - perisa makanan
    - diet tambahan
    - krim muka

  5. Serai Wangi
    Cymbopogon nardus (l.) Rendle - Famili: Graminae
    - pewangi
    - losyen
    - sabun
    - bahan-bahan pencuci
    - pengawalan serangga dan lipas 

  6. Tongkat Ali
    Eurycoma longifolia Jack - Famili: Simaroubaceae
    - perangsang tenaga batin
    - tonik kesihatan
    - ramuan-ramuan herba berbentuk kapsul
    - ubat sapu / salap 

  7. Cekur
    Kaemferia galanga Linn - Famili: Zingiberaceae
    - tonik selepas bersalin
    - salap / ubat sapu
    - perisa makanan 

  8. Pokok Tea
    Kaempferia galanga Linn - Famili: Myrtaceae
    - krim antiseptik
    - ubat sapu / salap
    - syampu berubat
    - pencuci mulut
    - sabun
    - Merawat lelah dan selsema
    - Aromaterapi
    - Perisa Makanan 

  9. Mengkudu / Noni - Famili:  Rubiaceae
    - minuman tonik kesihatan
    - produk rawatan masalah kulit
    - antioksidan 

  10. Kemangi - Rubiaceae
    - kosmetik
    - sirap batuk dan selsema
    - syampu dan sabun
    - mandian herba 

  11. Misai Kucing - Famili:  Lamiaceace
    Orthosiphon staminens Benth
    - produk rawatan bagi masalah buah pinggang dan sistem perkumuhan 

  12. Dukung Anak - Famili: Euphorbiaceae
    Phyllanthus niruri Linn
    - tonik kesihatan dan produk untuk ibu bersalin dan memudahkan penghazaman 

  13. Nilam - Famili: Lamiaceae
    (Pogostemom cablin Blanco) Benth
    - pengeluaran minyak sabun, losyen dan perasa makanan

Di sini dirangkaikan ke beberapa laman web mengenai herba, jenis-jenis dan fungsinya:-

Make a Free Website with Yola.