Teknologi Pertanian
TANAMAN ASAM JAWA

Khabarnya pokok asam jawa adalah tumbuhan semula jadi benua Afrika.  Kini tersebar luas ke serata dunia.  Ibu negeri Senegal diberi nama Dakar dalam bahasa tempatan yang bermaksud pokok asam jawa.  Pokok ini diperkenalkan ke negara-negara di Asia oleh pedagang Arab.  Kini, India ialah negara yang mempunyai ladang asam jawa yang paling ekstensif di dunia.  Sebanyak 250 0000 tan asam dihasilkan setiap tahun, 3000 tan daripadanya dieksport ke Eropah dan Amerika Utara.

Pokok yang tua boleh mencapai ketinggian sehingga 25 m.  Ia boleh hidup lama dan masih mampu mengeluarkan hasil walaupun telah berusia puluhan tahun. Batang utama pokoknya pendek.  Dahan dan cabang pokok terbuka luas.  Dahan pokok amat kuat dan tahan tiupan angin kencang.  Kanopi pokok berbentuk seperti kubah yang bulat melebar.  Tahan kemarau dan mudah hidup di mana-mana sama ada pada tanah yang subur atau tanah bermasalah.  Sesuai dijadikan pokok teduhan.  Amat menarik jika ditanam sebagai penghias di bahu jalan.

Daunnya berwarna hijau terang, panjangnya 10-15 cm daripada jenis pinat dengan anak daun berbentuk bujur sebanyak 10-20 pasang.  Daunnya sentiasa menghijau, tetapi apabila cuaca terlalu panas daun-daun ini akan gugur.  Daun ini bertangkup pada waktu malam.  Bunga asam jawa kecil, berwarna kuning air dan tumbuh di cabang.  Kelopak bunga berwarna merah jambu.  Ia akan gugur apabila bunga mengembang.

Bunga akan mengeluarkan lenggai yang panjang, melengkung sedikit, permukaannya cengkik dan mengelembung beralun yang menunjukkan ada biji benih yang terkandung di dalamnya.  Warnanya coklat karat.  Apabila matang, lenggai menjadi rapuh dan mudah terbuka.  Apabila merekah, nampak isinya (pulpa) berwarna coklat gelap dan biji berwarna coklat kehitam-hitaman, keras dan berkilat.  Hampir setengah daripada berat lenggai terdiri daripada pulpa yang rasanya masam.  Pulpa ini mengandungi gula (30-40%) dan asid organik seperti asid sitrik, tartarik, asitik dan askorbik (Vitamin C).  Pulpa ini juga merupakan sumber bahan makanan yang kaya dengan vitamin dan mineral terutamanya kalsium.  Walaupun mengandungi banyak gula, pulpanya tetap masam.

Mudah dibiak, hasilnya banyak

Pokok ini mudah dibiakkan sama ada menggunakan biji benih atau secara tampang.  Bijinya tahan lama dan mudah bercambah.  Apabila ditanam dengan biji, ia mula berbuah selepas 6-8 tahun manakala yang ditanam secara tampang akan berbuah selepas 3-4 tahun ditanam.  Tangkai buah asam jawa sangat kuat.  Di India, biasanya buah dibiarkan masak di atas pokok hinggalah kandungan airnya berkurangan sebanyak 20%.  Bagi pasaran segar, buah dipetik dengan menggunting tangkainya supaya lenggai tidak rosak.  Dahan digoncang supaya buah yang masak gugur dan dikutip.  Pokok yang matang boleh menghasilkan 150-200 kg buah sepokok setahun atau lebih kurang 12-16 tan sehektar (30-55%) pulpa, 11-30% kulit dan gentian dan 33-40% biji.

Enak rasa sebagai perisa

Buah asam jawa boleh dimakan segar.  Biasanya ia dijadikan jus yang dicampur air gula sebagai minuman segar, terutamanya di kawasan tropika.  Kini jus asam jawa telahpun dibotolkan dan mudah didapati secara runcit.  Selain itu, asam jawa juga merupakan bahan perisa asas dalam pelbagai jenis masakan/makanan seperti kari, pelbagai jenis acar, pembuatan sos, bahan awet dan lain-lain lagi.  Mudah didapati di pasaran dalam bentuk pulpa, berbiji atau tanpa biji yang dibungkus.  Peranan asam jawa dalam masakan memang penting dari zaman nenek moyang hinggalah kini, hinggakan terdapat pepatah Melayu yang berbunyi 'garam di laut asam di darat, dalam periuk bertemu jua'.  Pepatah ini menunjukkan betapa pentingnya peranan asam dalam masakan.

Di pantai timur Malaysia khususnya, asam jawa diproses menjadi sejenis pencuci mulut.  Asam jawa disalut dengan gula pasir dan dibalut seperti gula-gula.  Enak rasanya.  Di negara Amerika Selatan, asam jawa diproses untuk dijadikan bebola manisan, minuman berkarbonat, sirap, jeli, jem, ais krim, bahan awet dan wain.  Di Thailand pula, biji asam dikisar untuk dicampurkan ke dalam serbuk kopi.

Penyembuh yang mujarab

Kegunaan asam jawa dari segi perubatan tidak boleh dikira banyaknya.  Dari segi komersial, asam jawa dijadikan asas bahan penyejuk dalam ubat demam dan sebagai julap bagi mengatasi masalah perut kembung.  Sama ada dimakan begitu sahaja atau dicampur dengan jus limau, madu atau susu, asam jawa amat berkesan dalam mengatasi masalah kehadaman, penyakit hempedu dan kekurangan vitamin C (scurvy).

Sudah menjadi kelaziman, asam jawa digunakan sebagai sapuan untuk mengurangkan kesakitan akibat keradangan.  Ia juga digunakan untuk berkumur-kumur bagi mengurangkan sakit tekak.  Apabila sedikit garam dicampur ke dalam air asam, ia boleh digunakan sebagai sapuan bagi melegakan sakit sendi.

Daun asam jawa sama ada yang kering atau yang telah direbut boleh digunakan untuk merawat bisul, bengkak sendi dan terseliuh.  Losyen atau ekstrak daunnya pula boleh digunakan bagi merawat sakit mata, sebagai antiseptik, merawat cirit-birit, jaundis, sakit kulit dan buasir.

Kulit pokok asam jawa, jika digoreng dengan garam dan dikisar lumat boleh digunakan sebagai penawar ketakcernaan dan kolik.  Air rebusannya digunakan dalam kes radang gusi, lelah dan sakit mata.  Losyennya boleh digunakan pada kudis dan ruam ulat bulu.  Tepung daripada biji asam digunakan untuk merawat bisul.

Pelbagai fungsi, nilainya amat bererti

Di Afrika Barat infusi (air seduhan) lenggai asam jawa digunakan dalam pewarna untuk mewarna kulit kambing.  Pulpanya pula digunakan sebagai bahan 'fixative' bersama-sama kunyit atau annato dalam pewarna (dye).  Apabila pulpa ini dicampur air masin, ia amat baik digunakan untuk mencuci dan mengilatkan barangan perak, tembaga dan loyang.

Daun asam jawa boleh dijadikan makanan kepada ternakan lembu, kambing dan ulat sutera.  Manakala daun dan bunga boleh dijadikan 'mordant' kepada bahan pewarna.  Di Selatan India, bunga asam jawa adalah sumber madu yang baik dan madu tersebut berwarna kuning keemas-emasan.

Tepung biji asam digunakan untuk merawat kapas dan jut dalam industri tekstil di India.  Dalam industri yang lain pula tepung asam jawa digunakan dalam membuat perekat kertas, perawatan belulang, pembuatan plastik, gam kayu, penstabil batu-bata, bahan pengikat bagi bahan penyata habuk papan dan pemadat bahan letupan.  Biji asam juga menghasilkan sejenis minyak yang berwarna ambar (kuning jingga) yang digunakan sebagai "varnish" dan pengilat cat.

Kayu pokok asam jawa daripada jenis kayu keras, berat, kuat, tahan lama dan rintang terhadap serangan perosak.  Digunakan untuk membuat perabut rumah, panel dinding, roda, gear untuk kilang, pembajak, dinding sampan, pemegang pisau dan alat-alat lain, anak lesung penumbuk beras dan lain-lain lagi.  Selain itu, kayu juga boleh digunakan sebagai bahan bakar.  Abu kayu yang terbakar boleh digunakan bagi merawat dan menanggalkan bulu daripada  kulit kambing.  Dahan/cabang atau akar pokok boleh digayakan untuk dijadikan tongkat (untuk mereka yang melebihi 40 tahun) -   Dipetik dari majalah Agromedia Bil. 7/1999.

Make a Free Website with Yola.